Tab Menu 9

Rabu, 31 Mac 2010

HULURKAN TANGAN RINGANKAN BEBAN


3 beradik kebakaran menerima bantuan

Keprihatinan Warga SK Bukit Baru

BUKbbBARU : Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul, begitulah penderitaan yang dialami oleh 3 orang adik beradik yang bersekolah di SK Bukit Baru, apabila rumah mereka sekeluarga rentung dalam satu kebakaran yang berlaku di Taman Melaka Baru Fasa 3 pada 15 Mac yang lepas. Ketika kejadian, semua mangsa tiada di rumah kerana ibu bapa mereka keluar bekerja manakala adik beradik yang lain berada di kampung sempena cuti sekolah. Menurut Norazman yang merupakan anak sulung keluarga ini, ”Saya terperanjat apabila balik ke rumah melihat orang ramai dan pihak bomba sedang memadamkan api yang marak di rumah saya”. Ekoran daripada kejadian itu, beliau telah membuat laporan di balai polis Batu Berendam.

Rentetan itu, atas dasar kemanusian dan keprihatinan pentadbir sekolah apabila mengetahui  kejadian tersebut, pihak sekolah SK Bukit Baru telah menjalankan kutipan derma dan sumbangan  barang untuk membantu meringankan beban murid ini dan keluarganya. Selama 3 hari pihak sekolah membuat kutipan  dan sumbangan tersebut, pihak sekolah berjaya mengutip derma ikhlas sebanyak RM 1769.20 dan pelbagai barang lain seperti pakaian dan alat-alat tulis hasil sumbangan warga sekolah dan PIBG sekolah serta orang perseorangan. Pn. Hjh. Norisha (Guru Besar SK Bukit Baru) berkata “Saya amat berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam membantu keluarga ini dan saya tidak menyangka boleh dapat sumbangan dan kutipan derma yang sebegini banyak. daripada orang ramai. Sebagai guru besar yang juga ibu kepada anak-anak murid di sekolah ini, bantuan seperti ini amat diperlukan bagi membantu mereka yang berada dalam kesusahan”.

Penyampaian sumbangan telah dilakukan oleh Pn. Noraini Bt. Abd. Rahman selaku Penyelia Kanan Kebajikan, Jabatan Pelajaran Melaka. Dalam ucapannya beliau berharap dengan bantuan yang diberikan ini dapat membantu meringankan sedikit beban keluarga ini dan pihaknya menyokong penuh tindakan pantas yang dilakukan oleh pihak sekolah untuk membantu keluarga ini. Hadir dalam penyampaian sumbangan itu ibu mangsa Pn. Norliah Mamat dan abang mangsa. Kebakaran yang berlaku itu telah memusnahkan semua dokumen penting dan peralatan perabot serta wang tunai dan barang kemas. Pihak keluarga masih belum mengetahui lagi punca kebakaran dan masih dalam siasatan pihak polis. Kerugian dianggarkan mencecah ribuan ringgit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan