Tab Menu 9

Khamis, 26 April 2012

Majlis Persaraan Puan Mazanah

Tanggal 20 April yang lalu, SK Bukit Baru kehilangan seorang guru yang berdedikasi, ibu yang mithali dan rakan sejati apabila Puan Mazanah binti A. Hamid berada di hujung tali perkhidmatannya sebagai guru.


Beliau yang memilih untuk menamatkan perkhidmatan pada usia 58tahun kelihatan sangat tenang dan tersenyum pada hari tersebut. Menyifatkan sebagai inilah hari yang paling ditunggu-tunggu oleh setiap guru, beliau nekad untuk tidak mengalirkan air mata pada hari tersebut. Nyata beliau mengotakan janjinya dengan seringkali tersenyum dan menikmati setiap saat majlis yang diadakan untuk beliau.

Majlis yang sederhana tetapi meriah ini dikelolakan oleh Kelab Staf SK Bukit Baru. Majlis dimulakan dengan iringan lagu gamelan menuju ke pentas utama. Beliau yang kelihatan anggun dengan persalinan rona hijau acapkali melemparkan senyuman kepada guru-guru dan murid-murid.

Di dalam ucapan beliau, sejak kecil lagi beliau sudah memasang angan-angan untuk menjadi guru ataupun juruhebah. Namun rezeki lebih berpihak kepada menjadi seorang pendidik. Beliau yang dilahirkan di Batu Pahat, Johor sentiasa berada di kedudukan Top 3 semasa di sekolah dek kerana kerajinan beliau mengulangkaji pelajaran. Sifat rajin ini ditekankan beliau kepada murid-murid di dalam ucapannya.

Memulakan karier sebagai guru di sebuah sekolah di daerah batu Pahat, beliau akhirnya berpindah ke Melaka mengikut suami. Beliau yang dikurniakan 5 orang cahaya mata sering diberi tanggungjawab sebagai juruacara. Kenangan manis beliau ialah semasa menjadi juruacara untuk suatu majlis yang diadakan di peringkat kebangsaan.

Seperti manusia lain juga, beliau tidak lepas daripada diberi ujian oleh Allah SWT. Kehilangan suami pada awal tahun 1990-an ketika kelima-lima anaknya masih di bangku sekolah tidak pernah mematahkan semangat beliau untuk menjadi ibu yang terbaik. Terbukti apabila kesemuanya anak beliau berjaya menggulung ijazah di menara gading dan kini memegang jawatan penting di sektor perbankan dan swasta. Seorang anak perempuannya juga mengikut jejak langkahnya menjadi seorang pendidik.

Ditanya mengenai perancangan beliau selepas bersara, beliau menjelaskan bahawa kini beliau mempunyai lebih masa untuk berbakti kepada kedua ibu bapanya yang kini semakin uzur, mengikuti kelas agama dan melancong.

Kami, warga SK Bukit Baru mendoakan agar Puan Mazanah akan sentiasa diberikan nikmat kesihatan yang baik walaupun selepas bersara dan tidak melupakan kami di sini.

Untuk melihat lebih banyak foto, sila klik pada Photobucket Majlis Persaraan Puan Mazanah dan like page Facebook SK Bukit Baru.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan